(Video) Muhyiddin layak dilantik PM – Agong

 

YANG di-Pertuan Agong bertitah Tan Sri Muhyiddin Yassin layak dilantik sebagai Perdana Menteri kerana mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda yakin Muhyiddin akan membawa negara mendaki persada kejayaan.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.

Baginda bertitah, kemelut politik negara pada Februari lalu tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan tanpa ada penghujung.

Selain itu, baginda yakin kerajaan akan terus berusaha meminimumkan kesan buruk C0vid-19 kepada rakyat dan negara, pastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin.

Al- Sultan turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya jangan menyeret negara ke kancah politik sewaktu berdepan C0vid-19.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipertahankan, namun penganut agama lain bebas amalkan agama mereka secara aman.

YANG di-Pertuan Agong tiba di bangunan Parlimen. FOTO Yusmizal Dolah Aling

TERDAHULU, YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah tiba di bangunan Parlimen jam 9.55 pagi bagi menghadiri Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas hari ini.

Seri Paduka akan menyampaikan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen yang juga sesi Parlimen kali pertama kerajaan Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan Mac lalu.

Tiada perbahasan seperti biasa pada sidang kali ini dan dipinda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pada 13 Mei lalu Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan tiada persidangan selepas Titah Diraja bagi sesi ini.

Ia berikutan wabak C0vid-19 yang melanda negara yang masih belum reda sepenuhnya.

SIDANG Parlimen. FOTO Ihsan RTM

DALAM pada itu, Jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak C0vid-19 di Malaysia, hari ini mendapat pengiktirafan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Ahli Parlimen serta Senator.

Penghargaan negara itu diberikan Seri Paduka, yang mengajak Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, semua Ahli Parlimen, Senator dan tetamu jemputan yang menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, bangun berdiri dan memberi tepukan gemuruh, simbolik penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan.

Menyifatkan istiadat pembukaan persidangan Parlimen kali ini berbeza daripada norma dan kelazimannya berikutan wabak C0vid-19 serta amat bermakna kerana berlangsung dalam bulan suci Ramadan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur kerana rakyat jelata bersatu padu sebagai Bangsa Malaysia yang kuat, cekal dan berdisiplin menghadapi ancaman wabak yang membawa maut itu.

Dalam saat getir yang dihadapi ini, Seri Paduka bertitah, petugas barisan hadapan negara terutamanya yang berada dalam perkhidmatan kesihatan; tentera, polis, bomba, imigresen, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan agensi lain yang terbabit tampil dengan penuh dedikasi.

“Pengorbanan mereka tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan orang ramai.

“Justeru, sebagai tanda penghargaan negara; marilah bersama-sama dengan Beta untuk berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh kepada semua wira dan wirawati petugas barisan hadapan negara,” titah Al-Sultan Abdullah.

Sejurus itu, semua Ahli Parlimen dan Senator bangun berdiri seketika memberi tepukan gemuruh sebagai penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan negara.

Seri Paduka bertitah, Malaysia ketika ini masih lagi dalam usaha memerangi penularan wabak C0vid-19 yang mula dikesan menjangkiti rakyat Malaysia pada awal Februari lalu.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 6,894 kes positif C0vid-19 dengan sejumlah 5,571 orang sudah dibenarkan keluar wad. Sebanyak 113 kes kematian direkodkan di negara ini.

“Kepada rakyat jelata sekalian, teruskan menjaga kesihatan diri dan keluarga serta persekitaran setempat. Hindari daripada berhimpun secara ramai dan teruskan mengamalkan penjarakan sosial.

“Mudah-mudahan Malaysia akan berjaya menangani pandemik C0vid-19 ini dengan jayanya,” titah Al-Sultan Abdullah.

Sumber: Harian Metro, RTM

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Media Kini

Sumber : http://hiburan.allhmt.com/

Be the first to comment on "(Video) Muhyiddin layak dilantik PM – Agong"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*